Tuesday, 11 June 2013

Penghijrahan Kandak Bin Hassan dan Halijah Binti Sutan Laidin ke Kalumpang Selangor.

Assalammualaikum Wbt,
                   Saya tak pasti tahun berapa bermulanya penghijrahan Kandak Bin Hassan dan isterinya, Halijah Binti Sutan Laidin ke Kalumpang. Selangor   dari Medan Indonesia. Tapi yang jelasnya adalah sebelum perang Dunia Ke 2 meletus. Ini adalah berdasarkan tiga orang anak anak mereka dilahirkan di Medan Indonesia. 
                     Konon ceritanya Sutan Laidin adalah diantara orang orang yang terkaya diMedan. Manakala Kandak Bin Hassan hanyalah seorang penarik bendi ( kereta kuda ). Jodoh telah menyatukan mereka.
                    Konon lagi ceritanya Kandak Bin Hassan mendengar ramai orang orang keturunan Rao dari Medan yang berhijrah ke Negeri negeri di pantai barat Semenanjong dengan membuka penempatan baru. Beliau telah memilih Kalumpang berdasarkan terdapatnya saudara rapat yang terlebih dahulu berhijrah ke Kalumpang.
                    Gopeng, Tapah, Raub, Kalumpang, Tanjong Malim dan beberapa tempat lagi adalah tempat tempat yang menjadi tumpuan orang orang keturunan Rao dari Sumatera. Malah ditengah tengah Ibu Kota Kuala Lumpur juga terdapat Kampong Rao. Sebelum Malaya mendapat kemerdekaannya sekitar Jalan Melayu dan Masjid India dikenali dengan Kampong Rao. Malah nama Jalan Pudu dan Puduraya juga diambil dari seorang  keturunan Rao yang bernama Pudu yang bermakna pandir atau bodoh.
               Berbalik kepada cerita Kandak Bin Hassan tadi. Beliau dan beberapa orang keturunan Rao telah membuka tanah untuk bercucuk tanam disamping berternak kerbau dan lembu.
                     Olih kerana dalamnya kecintaan Halijah terhadap Tanah Airnya, maka setiap kali mahu melahirkan anak, ia akan meminta Kandak  menghantarkannya pulang ke Medan. Tiga orang anak anak mereka, Mohammad, Rafeah dan Sapiah dilahirkan di Medan dan yang lain-lain dilahirkan di Kalumpang Ulu Selangor. Setiap kali Halijah mahu melahirkan, Kandak akan menjual serba sedikit harta yang ada sehingga sampai satu tahap Halijah mengalah. 
                       Semasa Tanah Melayu dijajah  olih Jepun, kehidupan di Kalumpang adalah teramat sukar. Ubi Kayu menjadi santapan pagi, tengah hari dan malam. Beras terlalu sukar untuk diperolihi. Kalau ada pun terlalu mahal. Lalu Kandak membawa isteri dan anak-anaknya berpindah ke Batu Kurau Perak.
                      Di Batu Kurau , Kandak telah dijemput pulang kerahmatullah. Lalu tinggallah Halijah dalam kepayahan untuk membesarkan anak anak yang masih kecil.
                       Setelah tamat Perang Dunia Kedua, Halijah membawa anak anaknya pulang ke Kalumpang. Beliau telah menyara anak anaknya dengan menjual lemang di kampong Cina bersebelahan kampong tempat beliau tinggal.
                   Satu lagi peristiwa yang menyayat hati ialah peristiwa kematian Mohammad yang sungguh trajis. Beliau yang menjadi harapan Halijah sebagai tangan kanan ibunya telah dijumpai terapung di lombong tinggal tempat penduduk memancing ikan. 
                      Mohammad yang baru tamat darjah tujuh sekolah Melayu dan baru terpilih untuk menjadi calun guru tiba-tiba dijemput tuhan yang maha esa. Pemergian Mohammad benar benar satu pukulan yang tidak tertanggung dipikul Halijah. Tanggung jawab menyara hidup diambil alih olih Rafeah dan Fatimah sehingga Halijah pulih.
                      Kesemua anak anak Halijah dan Kandak, membesar dan berkeluarga dan hari ini yang tinggal hanyalah batu batu nisan mereka.
                            

1 comment: