Terumbu ( Salasilah ) Keluarga Besar Sutan Laidin Bin Sutan Bagindo Pusaka Alam
Thursday, 13 June 2013
Tuesday, 11 June 2013
Penghijrahan Kandak Bin Hassan dan Halijah Binti Sutan Laidin ke Kalumpang Selangor.
Assalammualaikum Wbt,
Saya tak pasti tahun berapa bermulanya penghijrahan Kandak Bin Hassan dan isterinya, Halijah Binti Sutan Laidin ke Kalumpang. Selangor dari Medan Indonesia. Tapi yang jelasnya adalah sebelum perang Dunia Ke 2 meletus. Ini adalah berdasarkan tiga orang anak anak mereka dilahirkan di Medan Indonesia.
Konon ceritanya Sutan Laidin adalah diantara orang orang yang terkaya diMedan. Manakala Kandak Bin Hassan hanyalah seorang penarik bendi ( kereta kuda ). Jodoh telah menyatukan mereka.
Konon lagi ceritanya Kandak Bin Hassan mendengar ramai orang orang keturunan Rao dari Medan yang berhijrah ke Negeri negeri di pantai barat Semenanjong dengan membuka penempatan baru. Beliau telah memilih Kalumpang berdasarkan terdapatnya saudara rapat yang terlebih dahulu berhijrah ke Kalumpang.
Gopeng, Tapah, Raub, Kalumpang, Tanjong Malim dan beberapa tempat lagi adalah tempat tempat yang menjadi tumpuan orang orang keturunan Rao dari Sumatera. Malah ditengah tengah Ibu Kota Kuala Lumpur juga terdapat Kampong Rao. Sebelum Malaya mendapat kemerdekaannya sekitar Jalan Melayu dan Masjid India dikenali dengan Kampong Rao. Malah nama Jalan Pudu dan Puduraya juga diambil dari seorang keturunan Rao yang bernama Pudu yang bermakna pandir atau bodoh.
Berbalik kepada cerita Kandak Bin Hassan tadi. Beliau dan beberapa orang keturunan Rao telah membuka tanah untuk bercucuk tanam disamping berternak kerbau dan lembu.
Olih kerana dalamnya kecintaan Halijah terhadap Tanah Airnya, maka setiap kali mahu melahirkan anak, ia akan meminta Kandak menghantarkannya pulang ke Medan. Tiga orang anak anak mereka, Mohammad, Rafeah dan Sapiah dilahirkan di Medan dan yang lain-lain dilahirkan di Kalumpang Ulu Selangor. Setiap kali Halijah mahu melahirkan, Kandak akan menjual serba sedikit harta yang ada sehingga sampai satu tahap Halijah mengalah.
Semasa Tanah Melayu dijajah olih Jepun, kehidupan di Kalumpang adalah teramat sukar. Ubi Kayu menjadi santapan pagi, tengah hari dan malam. Beras terlalu sukar untuk diperolihi. Kalau ada pun terlalu mahal. Lalu Kandak membawa isteri dan anak-anaknya berpindah ke Batu Kurau Perak.
Di Batu Kurau , Kandak telah dijemput pulang kerahmatullah. Lalu tinggallah Halijah dalam kepayahan untuk membesarkan anak anak yang masih kecil.
Setelah tamat Perang Dunia Kedua, Halijah membawa anak anaknya pulang ke Kalumpang. Beliau telah menyara anak anaknya dengan menjual lemang di kampong Cina bersebelahan kampong tempat beliau tinggal.
Satu lagi peristiwa yang menyayat hati ialah peristiwa kematian Mohammad yang sungguh trajis. Beliau yang menjadi harapan Halijah sebagai tangan kanan ibunya telah dijumpai terapung di lombong tinggal tempat penduduk memancing ikan.
Mohammad yang baru tamat darjah tujuh sekolah Melayu dan baru terpilih untuk menjadi calun guru tiba-tiba dijemput tuhan yang maha esa. Pemergian Mohammad benar benar satu pukulan yang tidak tertanggung dipikul Halijah. Tanggung jawab menyara hidup diambil alih olih Rafeah dan Fatimah sehingga Halijah pulih.
Kesemua anak anak Halijah dan Kandak, membesar dan berkeluarga dan hari ini yang tinggal hanyalah batu batu nisan mereka.
Sunday, 2 June 2013
Rabaniah Binti Sutan Aris Bin Sutan Laidin
Satu satu nya yang tinggal lagi dari generasi kedua Keluarga Besar Sutan Laidin Bin Sutan
Bagindo Pusako Alam. Rabaniah Binti Sutan Aris Bin Sutan Laidin
Bersama Jamayah Binti Mohd Sam, anak Rafeah Binti Kandak dan cucu Siti Halijah Binti Sutan Laidin
Bagindo Pusako Alam. Rabaniah Binti Sutan Aris Bin Sutan Laidin
Bersama Jamayah Binti Mohd Sam, anak Rafeah Binti Kandak dan cucu Siti Halijah Binti Sutan Laidin
Generasi Pertama dan Kedua Terumbu Sutan Laidin Bin Sutan Bagindo Pusako Alam
Assalammualaikum wbt.
Sutan Laidin adalah anak kepada Sutan Bagindo Pusako Alam dari salah seorang dua puluh orang isteri beliau. Sutan Bagindo Pusako Alam mempunyai 20 orang isteri ( sudah tentu tidak melebihi dari empat orang dalam satu satu masa) dan 40 orang anak. Sutan Laidin adalah salah seorang dari anak anak Sutan Bagindo Pusako Alam. Konon ceritanya Sutan Bagindo Pusako Alam berkerja sebagai tukang rumah. Beliau akan membuat rumah dari satu tempat kesatu tempat. Dimana beliau singgah beliau akan berkahwin dengan anak tempatan. Dan apabila rumah tersebut siap dan tidak ada lagi orang mahu membuat rumah, beliau akan berhijrah ketempat lain. Sekiranya isteri tersebut tidak mahu mengikut beliau ketempat lain, beliau akan melepaskannya dengan cara baik.
Tidak seperti bapanya Sutan Laidin sepanjang yang saya tahu hanya mempunyai lima orang anak dari seorang isteri. Anak anak tersebut adalah Sutan Aris, Pagon, Sutan Deman , Siti Halijah dan Sawiyah. Pagon dan Sutan Deman tidak meninggalkan sebarang keturunan, manakala Sutan Aris dan Sawiyah kekal tinggal di Medan , Sumatera Utara. Siti Halijah pula mengikut suaminya Kandak Bin Hassan berhijrah ke Kalumpang , Ulu Selangor, Malaysia.
Sesuatu yang menarik ketika saya berada di Medan, Indonesia ialah sebuah tempat yang bernama Kalumpang di tengah tengah kota Medan.Yang menarik lagi, ramai terdapat orang keturunan Rao di Kalumpang, Medan. Sama seperti di Kalumpang ,Ulu Selangor.
Dari Sutan Aris maka lahirlah Harun Affendi, Hassan, Rabiah dan Rabaniah. Hanya Rabaniah sahaja dari generasi kedua keturunan Sutan Laidin yang masih ada sehingga hari ini.
Siti Halijah pula melahirkan Mohamad, Rafeah, Fatimah, Habsah, Kalsum , Yun dan Mustapha. Manakala anak bungsu Sutan Laidin , Sawiyah mempunyai empat orang anak . Mereka adalah Saulan , Reduan, Umi Kalsum dan Saadiah.
Subscribe to:
Posts (Atom)





